| Kongsikan Cinta Itu | ![]() | ![]() | ![]() |
| Blog |
| Ditulis oleh Hanafi |
| Selasa, 22 Jun 2010 11:02 |
“Ayah! Argentina tengah lawan ni! Mai la tengok!” Teriak si anak dari ruang tamu.
“Ok, sekejap lagi ayah datang! Dah nak siap ni!” Balas si ayah yang sedang menghabiskan sisa-sia kerjanya untuk mesyuarat esok pagi.
“Alah, cepat la sikit! Nanti dia score dah rugi ayah tak dapat tengok.” Geram si anak kerana tak mahu ayahnya terlepas aksi-aksi menarik perlawanan bola sepak antara pasukan kesayangan mereka, Argentina melawan pasukan Korea Selatan.
Kegeraman si anak itu sebenarnya muncul dari perasaan kasih sayangnya kepada 2 objek; pertama, bola sepak dan kedua, ayahnya. Disebabkan beliau sangat meminati bola sepak, beliau mahu kongsikan perasaan tersebut kepada orang yang tersayang, lebih-lebih lagi jika orang yang tersayang itu juga mempunyai minat yang sama.
Seseorang yang mempunyai sesuatu minat, hobi atau apa-apa yang disukainya, biasanya akan bertambah gembira jika orang lain juga meminati perkara tersebut. Contoh yang lebih mudah ialah makanan. Seorang isteri yang makan sepotong kek yang sungguh enak di pejabat, tentu hendak berkongsi kek tersebut bersama suami tersayang sehingga sanggup tapau dan membawa pulang biarpun tinggal sepotong kecil.
Tetapi, jika orang yang tersayang itu sekadar rakan, dan makanan tersebut pula mahal harganya, dia tidak pula menyorokkan hal tersebut. Sebaliknya akan memberitahu juga rakannya itu di restoran mana dia menikmati makanan tersebut. Itulah seminimum-minimmum usaha yang mampu dilakukan, atas nama perkongsian dan kasih sayang.
Sayang siapa? Yang peliknya, terkadang usaha untuk berkongsi minat itu tidaklah dilakukan kerana sayang kepada ayah, suami atau rakan tadi. Tetapi lebih kepada sayang, minat atau kekaguman terhadap perkara yang ingin dikongsikan itu. Sehingga sanggup memarahi rakannya yang kurang bersetuju dengan kesedapan makanan di restoran itu. Ataupun geram dengan ayah sendiri yang melebihkan kerja pejabat daripada menonton perlawanan bola sepak.
Itulah fitrah. Ingin berkongsi rasa cinta dan bahagia yang sedang dinikmati kepada orang lain. Ingin melihat orang lain juga mencintai perkara yang sama, lalu mendapat bahagia. Maka tidak hairanlah bila kita melihat para pendakwah Islam sanggup berkorban segala-galanya untuk melihat Islam itu dinikmati oleh orang lain. Segalanya kerana mereka benar-benar merasakan nikmat iman. Maka, rumusnya…
Jika kita mencintai Islam, kita pasti akan berdakwah.
Rumus ini terbukti benar kerana seringkali dalam al-Quran, Allah men’duet’kan IMAN dan AMAL. Contohnya “Wahai orang-orang yang beriman dan beramal soleh, …”.
Berdakwah bukan atas arahan Terdapat segelintir dae’i yang berdakwah atas arahan nakib atau murabbi. Hal ini, biarpun tidak memberikan kesan negatif kepada perkembangan dakwah, bahkan terkadang amalan inilah yang membantu menyuburkan dakwah, tetap adalah amalan yang kurang sihat. Dae’i yang sebegini hanyalah dae’i ketika di hadapan murabbinya sahaja. Tanpa kehadiran murabbi dan tanpa arahan dakwah, mereka tidak berdakwah. Berbeza dengan dae’i yang berdakwah atas dasar cinta kepada Tuhannya, mereka akan berdakwah di setiap kesempatan.
Syoknya berdakwah Ada di antara sahabat-sahabat saya yang berkongsi masalah dan meluahkan rasa. Ada di antara mereka yang kembali mencari Tuhan lalu menemui kekuatan di sebalik kesulitan itu. Dan inilah nasihat saya, jangan sia-siakan hidayah yang Allah beri itu. Kongsikanlah rasa cinta itu kepada semua. Biar semua juga merasakan cinta itu. Lalu saya bertanya kepada mereka,
“Apakah yang membuatkan kamu memberitahu saya bahawa kamu sudah tenang dan benar-benar merasakan cinta Allah?”
“Sebab saya rasa bahagia bila bercerita tentang semua yang terjadi dan bagaimana saya kembali kepada Allah”, jawab sahabat saya.
“Jadi, itulah yang akan kamu buat kepada semua orang, sementara cinta Allah itu masih di hatimu.”
Tambahan pula, Islam itu percuma, tidak seperti sepotong kek yang mahal harganya! Jadi, selamat berkongsi rasa cinta anda terhadap Islam kerana ia percuma, tetapi pulangannya lumayan jika kita ikhlas. Sebuah bentuk perniagaan yang sangat menguntungkan, bukan? Oleh itu, mari kita sampaikan cinta ini! |









